Pada 1 Februari 2013 yang lalu, Kelab Sukan dan Kebajikan MyIPO melalui Biro Sosial dan Kebudayaan telah mengadakan program Konvoi Amal Motosikal MyIPO 2013. Konvoi bermula dari lobi bangunan UOA Bangsar (Ibu Pejabat MyIPO) dan tiba di destinasi yang ditetapkan iaitu Yayasan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Port Dickson.
Program yang julung kalinya diadakan ini adalah untuk melaksanakan program-program kebajikan dan kemasyarakatan dan dalam masa yang sama menyampaikan sumbangan derma kepada Yasasan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Port Dickson.
Program ini disertai 29 motosikal pelbagai jenis dari kalangan kakitangan MyIPO bermula pada pukul 9.30 pagi dan tamat pada pukul 5 petang hari yang sama. Program juga disertai 5 buah motosikal Marshall dari Kelab Rakan Trafik Malaysia sebagai pengiring keselamatan lalulintas bagi konvoi kali ini.
9.30 pagi - Perasmian Konvoi Amal Motosikal MyIPO 2013 oleh Pengerusi Kelab MyIPO, En Kamal Kormin. Beliau memberi kata-kata amanat supaya konvoi menjaga nama baik MyIPO dan sentiasa berhati-hati di sepanjang perjalanan. Beliau juga berharap program seperti ini dapat dianjuran kembali di masa-masa akan datang serta berhasrat ingin menyertai program ini di masa hadapan.
En Azlan selaku Ketua Marshall memberi sedikit taklimat ringkas berkenaan laluan dan tanda tangan untuk dipatuhi sepanjang konvoi. Beliau juga memberi penekanan agar para penunggang menjaga keselamatan diri dan konvoi sepanjang masa. Laluan yang dipilih adalah melalui Tol Sungai Besi, Shell Nilai dan kemudian melalui jalan lama ke Port Dickson.
Bacaan doa dibacakan En Mohd Hafiz Azmi supaya konvoi amal ini diberkati dan keselamatan dan kesejahteraan konvoi dirahmati Allah swt. Amin.